Program Transformasi Asrama memperkasakan asrama harian
SIBU: Jabatan Pendidikan Negeri mengenal pasti sejumlah 118 asrama sekolah harian di negeri ini untuk melaksanakan program Transformasi Asrama secara rintis.
Pengarahnya Serina Sauni berkata Bahagian Pengurusan Sekolah Harian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memperkenalkan Transformasi Asrama untuk memperkasa asrama harian.
“Transformasi Asrama dilaksanakan dengan matlamat menjadikan asrama sebagai kediaman menjamin kejayaan pelajar.
“Usaha ini selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia,” katanya pada Majlis Penangguhan Karnival Anugerah Seri Asrama Terbilang (ASAT) Peringkat Negeri 2014 di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sacred Heart, di sini semalam.
Teks ucapannya dibacakan oleh Ketua Penolong Pengarah Sektor Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Jabatan Pendidikan Negeri Kamariah Said.
Katanya, peranan kepimpinan sekolah dan asrama amatlah penting kerana tindakan yang dilaksanakan memberi impak terhadap pencapaian wawasan asrama.
“Seterusnya meningkatkan kecemerlangan pelajar dalam aspek kokurikulum, sahsiah, kepimpinan dan kemajuan sekolah secara menyeluruh selaras dengan gagasan 1Malaysia,” ujarnya.
Beliau berkata pengurusan asrama, prasarana asrama serta persekitaran dan kondusif asrama hendaklah mencapai jangkaan disasarkan oleh jabatan dan ibu bapa.
“Justeru, semua pihak harus menyedari bahawa asrama bukan semata-mata berfungsi sebagai tempat penginapan pelajar, tetapi merupakan sebuah institusi yang dapat membantu sekolah mencapai kecemerlangan pendidikan.
“Ini selaras dengan falsafah asrama yang menyatakan pelajar asrama seharusnya lebih cemerlang dalam pelbagai bidang, berbanding pelajar mempunyai latar belakang yang sama tetapi tidak tinggal di asrama,” katanya.
Gabungan tenaga pihak pentadbir, penyelia asrama, warden, guru serta seluruh warga sekolah menjurus ke arah menyediakan suatu perkhidmatan menyeluruh terhadap pembangunan asrama.
Di samping itu, ia menghasilkan satu pengurusan sumber manusia komited terhadap tanggungjawab dan amanah diberikan selaras dengan tema transformasi asrama ‘Kemenjadian Murid Adalah Tanggungjawab Bersama’.
Serina memberitahu, jumlah penghuni asrama Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak pada Jun 2014 adalah seramai 78,557 orang berbanding 103,692 orang pada 2010.
“Dalam hal ini, sekolah harus berusaha agar Indeks Pencapaian Utama (KPI) KPM untuk melihat peningkatan bilangan pelajar asrama di negeri ini dapat direalisasikan,” katanya.
Turut hadir Penolong Pengarah Unit Asrama Jabatan Pendidikan Negeri Selamat Markosen dan Pegawai Pendidikan Daerah Sibu Wong Chong Kung.
From: SaSa General FEED