SaSa Network

Together we amplify our voices. Sabah & Sarawak Superblog or simply, SASA. A syndicated network of blogs from Sabah and Sarawak, Malaysia. Because there are millions of blogs out there. We need SASA in order to be heard, and to be seen.
Sertai SASA untuk menjangkau lebih ramai pembaca blog anda.

SASA Welcomes YOU...

All Sabah and Sarawak bloggers regardless of your blogging preference, orientation and ideologies are the most welcome to join the ever expanding SASA Network. You see, SASA means SAbah & SArawak. Us, exactly.

Bapanya RASCOM, Puteranya ESSCOM



Sekitar awal 70-an, Sarawak ketika itu menghadapi ancaman daripada pengganas komunis yang kerap mengganggu kawasan tengah, iaitu Sibu, Sarikei, Kapit, Mukah dan Bintulu. Pada masa itu Ketua Menteri adalah bapa saudara kepada Abdul Taib Mahmud, iaitu Abdul Rahman Yaakub dan Perdana Menteri pula adalah Abdul Razak Hussein. Mereka telah menubuhkan RASCOM untuk menjaga keselamatan dan keamanan di sekitar kawasan ancaman pengganas komunis.



Kini apabila putera kepada Perdana Menteri telah menjadi PM ke-6 pula, negara pula diancam oleh pengganas Sulu dibahagian Sabah Timur. ESSCOM pula dalam perlaksanaan bagi menjamin keselamatan rakyat di kawasan tersebut. Ikutilah bagaimana ESSCOM terilham daripada RASCOM untuk keselamatan dan kesejahteraan rakyat 1Malaysia.



ESSCOM: Belajar Daripada Pengalaman Sarawak






SIBU – Pada awal 1972, ancaman komunis di Sarawak, khususnya di bahagian tengah negeri ini (Sibu, Kapit, Sarikei, Mukah dan Bintulu), mencapai kemuncaknya.



Kira-kira 500 pengganas komunis militan dari Parti Rakyat Kalimantan Utara (PARAKU), bukan sahaja melakukan serang hendap terhadap pasukan keselamatan, tetapi juga mengugut, mengganggu dan membunuh orang awam yang tidak bersalah dengan sesuka hati. Perintah berkurung, yang ada kalanya dikenakan sepanjang masa, merupakan perkara biasa ketika itu.



Apabila keadaan menjadi semakin buruk, kerajaan di bawah pimpinan perdana menteri ketika itu, Tun Abdul Razak Hussein, tidak mempunyai pilihan selain mengisytiharkan bahagian tengah Sarawak sebagai Kawasan Keselamatan Khas pada 25 Mac 1972.






Tindakan itu diambil untuk membolehkan jentera kerajaan dikerahkan sepenuhnya bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam.



Sehari kemudian, Kawasan Keselamatan Rajang atau ringkasnya RASCOM, ditubuhkan.



“Ia satu percubaan berani. Untuk julung kalinya di Sarawak dan di negara ini, sebuah pasukan bersama Sivil, Polis dan Tentera ditubuhkan. Ia bertujuan membolehkan tindakan kepolisan dan keputusan diambil serta dilaksanakan dengan cepat dan berkesan, terutama di mana perkhidmatan mereka secara terselaras, amat diperlukan,” tulis seorang daripada ketua pegawai eksekutif RASCOM mendiang Ignatius Angking.



RASCOM kemudiannya diletakkan di bawah pentadbiran ketua menteri Sarawak ketika itu, sebagai ketua operasinya.



Beliau menyelaras dan mengawal fungsi serta kegiatan pasukan keselamatan dan semua jabatan kerajaan di kawasan RASCOM, dengan dibantu ibu pejabat Markas Bersama Sivil, Tentera dan Polis.



Mengenai penubuhan RASCOM, Tun Abdul Razak dilaporkan berkata: “Di bawah badan yang baru ditubuhkan ini, jentera kerajaan akan diselaras dari peringkat daerah hinggalah ke peringkat bahagian.



“Pentadbiran sivil, polis dan tentera ini akan berfungsi sebagai sebuah pasukan. Ini untuk memastikan apa jua langkah yang ingin diambil kerajaan sebagai tindak balas terhadap CT (pengganas komunis), akan melibatkan semua pihak”.



Ketua menteri ketika itu, Datuk Patinggi Abdul Rahman Yaakub, pula berkata “hakikatnya ialah dalam peperangan yang kita lancarkan terhadap pengganas komunis sekarang, senjata sahaja tidak memadai.”



“Ia adalah perang untuk menawan hati dan minda rakyat. Ia bukan saja peperangan yang melibatkan tentera, tetapi semua. Ia adalah suatu peperangan, yang tidak kira siapa sahaja dan di mana mereka tinggal di Sarawak, semuanya perlu mengambil bahagian,” kata Abdul Rahman, sebelum beliau dilantik sebagai pengarah operasi pertama RASCOM.



Sejurus selepas itu, strategi dan taktik baharu untuk memerangi pengganas komunis pun digubal, sejajar dengan langkah tindak balas sivil dalam satu peperangan secara habis-habisan.



Antara langkah penting yang paling awal dilaksanakan ialah memindahkan penduduk rumah panjang yang berselerak di kawasan pedalaman, ke kawasan skim penempatan semula dan berkelompok.



Ini dilakukan untuk menyelamatkan mereka daripada gangguan pengganas yang cuba mendapatkan makanan, kelengkapan logistik serta anggota baharu.



Sebanyak lima skim penempatan semula dan berkelompok diwujudkan. Skim utama terdiri daripada Nanga Ngungun yang mempunyai 23 rumah panjang serta lebih 3,000 penduduk, Nanga Tada (16 rumah panjang dengan 2,000 penduduk) dan Nanga Jagau (24 rumah panjang dengan 3,000 penduduk), kesemuanya di daerah Kanowit, dan Nanga Sekuau (24 rumah panjang dengan lebih 6,000 penduduk) di Daerah Selangau.



Dua skim lagi, iaitu skim lebih kecil, ialah Nanga Dap (lima rumah panjang dengan kira-kira 480 penduduk) dan Rantau Panjang (tiga rumah panjang dengan lebih 300 penduduk).



Pada asasnya, ketika Polis Cawangan Khas dan Unit Risikan Tentera mencari maklumat, pasukan tentera/pengawal sempadan/pasukan polis hutan akan memburu pengganas atau memujuk mereka supaya menyerah diri.



Komponen orang awam pula akan menyediakan perkhidmatan perubatan, pelajaran dewasa dan khidmat sosial lain kepada penduduk, di samping menganjurkan perhimpunan sivik dan taklimat keselamatan untuk mengingatkan orang ramai tentang bahaya menyokong komunis.



Mereka juga terlibat dengan tugas memantau pergerakan orang ramai dan langkah menyekat perbuatan membekalkan makanan, ubat-ubatan dan barangan keperluan lain kepada pengganas komunis di kawasan RASCOM.



Dalam tempoh yang singkat, RASCOM terbukti sebagai satu stratetgi paling berkesan dalam memerangi pengganas. Ia mencatat kejayaan besar pada 4 Mac 1974.



Melalui ” Operasi Sri Aman”, kira-kira 585 pengganas dari seluruh Sarawak mengambil keputusan keluar daripada sarang persembunyian mereka di dalam hutan untuk menyerah diri, manakala kira-kira 100 pengganas tegar lain meneruskan perjuangan sia-sia mereka.



Bagaimanapun, pada 3 Mac 1990, lebih kurang 50 daripada mereka akhirnya mengambil keputusan mengikut langkah rakan mereka untuk menyerah diri dan dengan itu, berakhirlah masalah pemberontakan komunis di Sarawak yang berlarutan selama lebih tiga dekad.



Sejak saat itu, Sarawak mula menikmati suasana aman dan tenteram serta memberi tumpuan untuk melaksanakan program pembagunan ekonomi dan infrastruktur dengan sokongan kerajaan persekutuan.



Tanpa RASCOM, yang akhirnya dibubar pada 6 April 1995, Sarawak mungkin tidak wujud seperti sekarang.



Mungkin secara kebetulan, pada 7 Mac 2013, 41 tahun selepas RASCOM dibubar, putera kepada pemimpin yang mengisytiharkan penubuhan RASCOM, mengumumkan pula penubuhan sebuah Kawasan Keselamatan Khas (KKK) untuk pantai timur Sabah.



Ia kemudiannya dinamakan ESSCOM atau Kawasan Keselamatan Timur Sabah, yang meliputi kawasan pantai sepanjang 1,400 km dari Kudat ke Tawau.



ESSCOM ditubuhkan berikutan pencerobohan yang dilakukan ada 12 Feb oleh kira-kira 150 pengganas Sulu dari selatan Filipina, yang mendarat secara berperingkat di Silabukan dan Sungai Merah, berhampiran Kampung Tanduo di Felda Sahabat 17, kira-kira 110 km dari Lahad Datu, dengan menaiki bot tradisional yang lazimnya digunakan dalam kegiatan perniagaan tukar barang.



Dalam tempoh sebulan sejak mereka menceroboh kawasan itu, 56 pengganas terbunuh dalam pertempuran dengan pasukan keselamatan.



Malaysia kehilangan sepuluh nyawa, lapan anggota polis dan dua anggota tentera dengan seorang daripadanya terkorban apabila trak yang dinaikinya terbalik ketika menghantar bekalan kepada anggota pasukan keselamatan.



ESSCOM akan memberi perlindungan kepada lebih 1.4 juta rakyat Sabah melalui darat dan laut dengan kehadiran tidak kurang lima batalion anggota tentera dan Pasukan Gerakan Am (PGA) Polis Diraja Malaysia (PDRM).



Ibu pejabatnya akan ditempatkan di Lahad Datu.



“Banyak perkara yang boleh dipelajari ESSCOM daripada pengalaman RASCOM. Penubuhan ESSCOM adalah satu langkah tepat,” kata Brig Jen Datuk Stephen Mundaw, pegawai pemerintah Briged Kesembilan Infantri di sini. Briged ini pernah ditempatkan di RASCOM.



Mundaw sendiri pernah berkhidmat dengan RASCOM selama beberapa tahun dan antara rakan setugas beliau ketika itu ialah Panglima Angkatan Tentera sekarang, Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin.



Bercakap kepada Bernama di sini, Mundaw berkata secara peribadi, beliau percaya “penubuhan ESSCOM merupakan langkah yang amat baik dan tepat pada waktunya berikutan apa yang berlaku di pantai timur Sabah.”



“Ia sama dengan RASCOM, model yang amat berjaya dalam memerangi pemberontakan pengganas komunis di Sarawak.



“Saya yakin, banyak yang ESSCOM boleh pelajari daripada pendekatan dan pengalaman RASCOM, pertama, kerana kedua-duanya merupakan kawasan keselamatan. Mungkin struktur ESSCOM sedikit berbeza, tapi kebanyakan objektif dan unsurnya mencerminkan tentang RASCOM.



“Kedua, ia berkaitan kerjasama dan operasi antara agensi. Ia diperintah oleh seorang orang awam, manakala tentera dan polis akan melaksanakaan tugas penguatkuasaan. Komponen sivilnya, termasuk pihak berkuasa tempatan dan agensi negeri serta persekutuan yang berkenaan, boleh diberi tugas yang tidak melibatkan pertempuran, tetapi tidak kurang pentingnya iaitu perkhidmatan pembangunan masyarakat untuk mewujudkan pertumbuhan dan kemakmuran di kawasan berkenaan.



“Apa yang kita mahu ialah keamanan dan kestabilan, agar pembangunan serta kemajuan dapat dilaksankan tanpa gangguan. Tapi, perkara paling penting ialah kedaulatan negara perlu dipelihara sepanjang masa.



“Saya juga percaya bahawa seperti di Sarawak, khususnya di kawasan Briged Kesembilan Infantri, yang meliputi semua bahagian tengah negeri ini dan kawasan di Bahagian Miri, kita tidak boleh mengambil ringan, tetapi perlu mengawasi dengan cukup teliti sempadan serta kawasan pantai yang panjang di timur Sabah. Orang boleh masuk dan keluar pada bila-bila masa. Kejadian di Lahad Datu, seperti yang dikatakan perdana menteri kita, ialah peristiwa yang sepatutnya menyedarkan kita,” kata beliau.



– BERNAMA



- Posted using BlogPress from my New iPad







Source: Sarawak Blog

0 comments:

Post a Comment