Berdoa
“Baik, sekarang boleh mula menjawab”.
Kalau di bilik yang saya awasi sebelum ini, murid-murid biasanya terus gelojoh membuka kertas soalan seperti takut segala ingatan yang mereka perap dalam otak mereka hilang, tetapi calon-calon di bilik 1 agak istimewa. Hanya sebilangan yang terus membuka kertas soalan, selebihnya mengambil sedikit masa – dalam 30 saat menutup mata. Berdoa. Saya terkesima seketika.
Sebenarnya melihat orang berdoa bukanlah baru bagi saya. Setiap hari saya melihat orang berdoa. Tetapi entah kenapa kejadian petang tadi, ketika mengawasi bilik 1 meresap jauh dalam hati saya. (Mungkin saya dalam beberapa bulan ini begitu dekat dengan doa untuk sesuatu yang saya inginkan) Situasi tadi sesuatu yang agak indah dipandang. Betapa mereka menginsafi diri mereka, walau sebijak manapun mereka, walau segunung usaha mereka untuk menghadapi peperiksaan tetapi mereka tidak lupa sama sekali bahawa rezeki untuk mendapat keputusan yang cemerlang adalah terletak di tangan Allah.
Begitulah juga dalam kehidupan seharian kita. Kita harus berusaha gigih untuk mencapai setiap keinginan dalam hidup namun demikian kita juga sering diingatkan agar tidak lupa berdoa. Berdoa agar dipermudahkan jalan untuk mencapai segala yang dihajati. Berdoa agar diberikan apa yang diinginkan.
Jadi untuk semua yang kamu inginkan dalam hidup, usahakan lah sedaya upaya dan JANGAN lupa berdoa kepada Allah. Ianya tidak berat, tidak payah. Amat mudah dan PERCUMA! Cuma harus diiringi oleh rasa Yakin dan Percaya.
Berusahalah, yang selebihnya serahkan kepada Allah.
Source: SaSa General FEED
0 comments:
Post a Comment