Wan Zain diminta kemuka butiran pesakit ditolak Hospital Sultanah Aminah
KUCHING: Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru memohon kerjasama aktivis sosial, Wan Zain Syed Mohdzar untuk mengemukakan butiran lanjut berkaitan pesakit yang tidak diterima kemasukannya di hospital berkenaan.
Pengarahnya Dr Rooshaimi Merican A.Rahim Merican melalui kenyataan media yang dikeluarkan di sini, semalam berkata pihak pengurusan hospital memandang serius terhadap dakwaan yang telah dikemukakan itu.
Menurut beliau, merujuk kepada aduan Wan Zain Syed Mohdzar yang telah disiarkan di akhbar pada 12 Januari 2014, terlebih dahulu pihak pengurusan hospital mengucapkan terima kasih kerana sudi mengemukakan aduan berkenaan.
“Pihak pengurusan hospital memandang serius terhadap dakwaan yang telah dikemukakan.
“Sehubungan itu kami mohon kerjasama Wan Zain Syed Mohdzar untuk mengemukakan butiran lanjut berkaitan pesakit khususnya tarikh pesakit hadir ke hospital ini untuk mendapatkan rawatan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Dengan itu kata Dr Rooshaimi, Wan Zain boleh berhubung dengan Pegawai Perhubungan Awam hospital di talian 07-225 7000 sambungan 2722/3456 atau melalui alamat e-mel publichsajb@moh.gov.my.
“Pihak kami amat menghargai maklum balas yang diberikan demi meningkatkan mutu perkhidmatan yang diberikan oleh hospital ini,” tegasnya.
Pada 12 Januari lepas, Wan Zain meminta Hospital Umum Johor (JGH) memberi penjelasan lanjut berhubung keengganan pihak hospital menerima masuk pesakit yang berasal dari Sarawak di hospital berkenaan.
Wan Zain mendakwa pesakit yang berasal dari Sibu itu telah terlibat dalam kemalangan dan dihantar ke JGH untuk rawatan, tetapi ditolak kemasukannya oleh hospital.
“Alasan JGH enggan menerima pesakit kerana mangsa bukan orang Johor, meskipun pesakit memerlukan perhatian perubatan ekoran patah tulang kesan daripada kemalangan dialami,” kata Wan Zain.
Malahan kata beliau, pesakit Norhaironiza Hasim kemudian dirujuk ke Hospital Umum Muar dan berjaya menjalani pembedahan di sana yang dibiayainya sendiri.
From: SaSa General FEED
0 comments:
Post a Comment