Pelancongan berbasikal keliling Kuching
Oleh Jessica Jawing //
MENGGUNAKAN arca basikal terpakai untuk diletakkan di Tebingan Kuching menjadi salah satu cara mempromosikan Paradesa Borneo Discovery, ejen pelancongan menawarkan pelancongan berbasikal di sekitar bandar raya.
Arca yang diperbuat daripada enam basikal terpakai yang dicat dengan warna bendera Sarawak itu bukan sahaja membolehkan pengunjung Tebingan Kuching mengambil gambar. bahkan memperkenal Kuching sebagai bandar raya mesra basikal.
Ketua Ejen Pelancongan Paradesa Mazlan Rosli berkata, pembuatan arca itu dihasilkan berdasarkan ilham daripada pembinaan arca basikal di China yang dibina setinggi dua tingkat.
“Bagaimanapun di sini, kami meletakkannya di Tebingan Kuching bagi tujuan mempromosikan pelancongan di bandar raya ini khasnya menggunakan basikal supaya orang tahu bahawa Kuching bandar raya mesra basikal.
“Pada masa yang sama, ia mempromosikan budaya serta makanan asal kita kepada pelancong kerana kami akan membawa pelancong mengelilingi bukan sahaja kawasan bandar malah juga ke kampung,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo di Kuching, kelmarin.
Dengan tujuan mempromosikan budaya, gaya hidup dan luar Sarawak serta memperkenal gaya hidup sihat alternatif kepada pelawat bahawa Sarawak mempunyai pemandangan menarik, aneka makanan tempatan yang menyelerakan dan alat muzik tradisional serba unik melalui aktiviti berbasikal, Paradesa Borneo memperkenal sesuatu yang lebih peribadi, lebih hijau dan sihat di bandar raya indah ini.
Mazlan memberitahu, pada mulanya mereka merancang untuk membuat arca yang sama di setiap sudut yang sesuai, bagaimanapun ia terpaksa dibatalkan kerana bimbang ia akan hilang begitu sahaja.
TARIK TUMPUAN
Katanya, arca yang direka pengurus kedai mereka Ben Larcombe diletakkan di Tebingan Kuching berdekatan Muzium Cina sejak empat bulan lepas dan mendapat persetujuan daripada Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC).
“Dengan adanya arca ini, pelancong tahu bahawa kita ada menawarkan lawatan berbasikal dan kami akan meletakkan papan tanda supaya memudahkan mereka mengetahui kewujudan kita,” katanya.
Paradesa Borneo, syarikat milik One Wayang Tours Sdn Bhd, menawarkan pelancongan berbasikal dari pusat bandar ke kampung-kampung tradisional Melayu di sekitar Kuching sepanjang tempoh masa tiga jam setengah.
Mazlan berkata, usaha sedemikian akan memperkenal budaya, makanan serta gaya kehidupan masyarakat majmuk di Sarawak kepada pelancong khasnya dari luar negara.
“Kami menerima pelancong tempatan seperti dari Sabah, Johor juga Kuala Lumpur, sementara dari luar negara kebanyakan pelancong adalah dari Australia, Perancis, Jerman, England dan Amerika Syarikat.
“Menariknya mereka juga tidak ketinggalan untuk merakam kenangan di arca basikal itu,” ujar beliau.
Bagi menggalakkan promosi pelancongan, Paradesa Borneo merancang untuk menga-dakan program berbasikal dan program memasak di kampung pada tahun depan.
Perkara itu kata Mazlan, sebenarnya atas permintaan pelancong dari Belgium yang mahukan program sedemikian dan mereka merancang untuk datang sama ada akhir tahun ini atau tahun depan.
Bukan itu sahaja, Paradesa Borneo kini menawarkan aktiviti berbasikal lasak ke kawasan mencabar iaitu di Bau dan pada masa yang sama menjelajah lokasi menarik di situ.
Paradesa Borneo boleh dikunjungi dari jam 8 pagi hingga 7 malam dan menawarkan dua sesi berbasikal iaitu pagi dan petang.
From: SaSa General FEED
0 comments:
Post a Comment